Monday 31 August 2009

Sistem monorel Mekah mulai tahun depan


31/08/2009 9:00pm

DUBAI 31 Ogos — Jemaah yang menunaikan fardhu haji tahun depan berpeluang menggunakan sistem perkhidmatan monorel bernilai berbilion ringgit yang menghubungkan Mekah ke Madinah, Arafar dan Muzdalifah, menurut sebuah laporan hari ini.

Sistem pengangkutan itu akan dapat digunakan pada tahap 35 peratus pada tahun depan dan akan beroperasi sepenuhnya pada musim haji pada 2011, menurut akhbar Arab News yang memetik laporan Jawatankuasa Tertinggi Haji.

Syarikat China Railway menerajui projek itu dengan sekumpulan syarikat dan projek itu dilaksanakan dengan tujuan mengatasi masalah pengangkutan bagi lebih dua juta jemaah haji yang mengerjakan ibadat haji setiap tahun.

Jawatankuasa itu berkata, kira-kira 53,000 bas dan kenderaan lain akan dikeluarkan dari jalan raya sebaik sahaja sistem monorel itu beroperasi sepenuhnya.

Laporan itu menyebut, sistem perkhidmatan monorel itu mampu membawa sekurang-kurangnya 500,000 jemaah setiap enam hingga lapan jam. - Bernama